Pentadbiran Mahathir Ketuanan_Melayu

Tindakan afirmatif dan bantahan Cina

Rencana–rencana utama: Operasi Lalang dan Krisis perlembagaan Malaysia 1988

Dasar tindakan afirmatif DEB diteruskan di bawah pemerintahan Mahathir. Para pengulas politik menganggap pentadbiran ini di peringkat awalnya sebagai kesinambungan "penguasaan hegemoni" ke atas politik Malaysia oleh Melayu, terutama sekali UMNO.[132] Pada ketika itu, Mahathir tertumpu kepada mengukuhkan kuasanya di dalam UMNO dan pemerintahan.[140] Justeru, tidak banyak terdapat perbalahan antara Melayu dan bukan Melayu mengenai isu ketuanan Melayu ketika itu.

Pada tahun 1981, MCA mengkaji DEB dan lain-lain dasar kerajaan dari sudut pandangan Cina. Hasil dapatannya menyentuh beberapa masalah termasuk dakwaan bahwa kewarganegaraan Malaysia kaum Cina tidak dihormati serta penguasaan Melayu dalam perkhidmatan awam, dengan hujah bahawa matlamat DEB untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi telah terbatal.[141] Selain itu, adalah didakwa bahawa bukan Melayu kekurangan perwakilan di Parlimen dan Jemaah Menteri disebabkan gerimander; kawasan Parlimen luar bandar yang rata-rata Melayu mengatasi kawasan Parlimen bandar yang bercampur kaum biarpun jumlah penduduk kawasan bandar jauh mengatasi jumlah luar bandar.[142] Namun demikian, UMNO mengelak daripada bersemuka langsung dengan MCA tentang hal itu.

Ketegangan timbul selepas pilihan raya umum 1986 apabila UMNO kelihatan meraih majoriti Parlimen yang selesa dengan sendiri supaya dapat mentadbir tanpa sokongan parti-parti lain. Sesetengah pemimpin UMNO serius membincangkan kemungkinan mentadbir sendirian; salah seorang daripada mereka, Abdullah Ahmad lantang menyokong ketuanan Melayu berkekalan serta menurunkan bukan Melayu kepada kewarganegaraan kelas kedua. Seruan demi unilateralisme sebegini akhirnya tidak diendahkan, maka berterusanlah pemerintahan Barisan Nasional. Namun begitu, sesetengah orang atas UMNO mengingatkan parti-parti bukan Melayu supaya jangan "bermain api" dengan mempertikai hak-hak keistimewaan orang Melayu. Di Perhimpunan Agung UMNO pada tahun itu, Mahathir berucap: "Kita tidak berniat untuk merampas hak sesiapa. Tetapi jangan sesiapa cuba merampas hak kita."[143] Apabila Parlimen bersidang semula, DAP mula mengemukakan bantahan terhadap apa yang mereka dakwa sebagai pemecahan rakyat Malaysia kepada "rakyat kelas satu dan dua". Ini dibalas oleh sesetengah Wakil Rakyat UMNO dengan memanggil bukan Melayu "pendatang asing" di Parlimen. Apabila DAP cuba menyoal pengagihan kongsian ekonomi sesama kaum untuk menilai prestasi DEB, Peraturan Majlis Mesyuarat Parlimen dipinda untuk melarang persoalan sedemikian. Maka DAP mendakwa bahawa matlamat DEB sudah pun dicapai dan boleh dibiarkan luput pada tahun 1990.[144]

Sesetengah pihak seperti ahli majlis perbandaran Petaling Jaya, Richard Yeoh, percaya bahawa Abdullah Ahmad sebagai pengiring Mahathir adalah orang pertama yang menyebut istilah "ketuanan Melayu". Yeoh menerangkan konteks yang digunakan oleh Ahmad sebagai ucapan yang agak 'lembut' dan tidak menimbulkan masalah bagi kebanyakan, tetapi lama-kelamaan disamakan dengan ketinggian Melayu yang tidak semestinya dierti oleh barisan pemimpin Umno.[145]

Ketegangan kaum terus memuncak sejurus selepas Mahathir menang tipis ke atas Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987. Pada ketika ini, runtuhnya beberapa koperasi penerima deposit (KPD), termasuk sesetengah yang bertaut dengan MCA. Untuk menyelamatkan pelabur Cina, MCA meminta kerajan untuk menjamin KPD berasaskan jaminan terhadap institusi kewangan Bumiputera sebelum ini. UMNO enggan akur kepada tuntutan itu, maka Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai mengingatkan bahawa MCA mungkin akan keluar dari kerajaan. Pada lewat tahun itu, kerajaan menghantar beberapa kakitangan bukan berpendidikan Cina kepada jawatan kanan di sekolah-sekolah berbahasa Cina. Anwar Ibrahim selaku Menteri Pelajaran ketika itu enggan akur kepada bantahan MCA dengan menyatakan bahawa keputusan itu muktamad biarpun pernah adanya persetujuan tak rasmi mengenai isu ini antara kaum Melayu dan Cina.[146]

Gerakan, MCA dan DAP menganjurkan tunjuk perasaan serta memboikot pelajaran di sekolah-sekolah rendah Cina untuk mengecam tindakan itu;[147] Pemuda UMNO pula menganjurkan perhimpunan sendiri untuk menegaskan ketuanan Melayu dengan mengangkat-angkat sepanduk berslogan seperti "lucutkan kewarganegaraan mereka yang menentang Raja-Raja Melayu", "13 Mei sudah pun bermula", dan "basahkan keris dengan darah Cina".[148] Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Najib Razak mengugut untuk mencemar keris dengan darah Cina, namun itu pun tidak boleh menjadi kerana Keris Panca Delima hanya digunakan sebagai lambang tampuk Ketua Pemuda UMNO setelah diambil alih oleh Hishamuddin.Diarkibkan Februari 18, 2006 di Wayback Machine</ref> Api perkauman disemarakkan lagi dengan satu kejadian tidak berkenaan apabila seorang askar Melayu mengamuk dalam sebuah kawasan majoriti Cina, menyebabkan seorang terbunuh dan dua lagi cedera.[147]

Selepas itu, kerajaan melancarkan Operasi Lalang untuk menahan sekurang-kurangnya 55 orang di bawah ISA. More were arrested over the next few months. Sungguhpun rata-rata tahanan itu daripada parti pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Parlimen Lim Kit Siang, bahkan juga terdapat beberapa ahli BN. Semua ahli BN berkenaan dibebaskan selepas dua bulan, padahal ahli-ahli pembangkang terpaksa lebih lama meringkuk dalam tahanan. Kemudian, pihak kerajaan membela penahanan ini atas alasan keselamatan dengan mendakwa bahawa para tahanan mengapikan isu pendidikan Cina untuk mencetuskan sentimen perkauman.[149] Sesetengah penyokong Mahathir menganggap tindakan ini sebagai buktik bahawa beliau menolak dasar "tolak ansur" Tunku Abdul Rahman dengan kaum bukan Melayu serta mengajar kaum bukan Melayu supaya tidak mengkritik kerajaan dan dasar-dasar pro-Melayunya.[150]

Ramai pembidas tidak mengambil berat penjelasan ini. UMNO pada ketika itu diselubungi kemelut apabila puak Mahathir menang tipis ke atas puak Tengku Razaleigh dalam pemilihan parti. Para penyokong Razaleigh memfailkan tuntutan mahkamah yang mendakwa akan kepincangan dalam proses pilihan raya yang nampaknya berpeluang cerah untuk mengulangkan pemilihan parti. Dalam konteks ini, seorang ahli MCA mendakwa bahawa kerajaan telah mengejar "agenda tersembunyi" dengan mengalihkan perhatian umum daripada kemelut UMNO dengan "penyelewengan dalam pelaksanaan dasar pendidikan Cina." Tunku Abdul Rahman sendiri mendakwa bahawa Mahathir mempergunakan isu itu untuk mengerah seluruh kaum Melayu sebagai angkatan yang bersatu padu untuk menentang sebuah angkatan 'musuh', iaitu kaum Cina.[151]

Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas dipecat oleh Mahathir sebaik sahaja beliau sudi mendengar rayuan lawan-lawan Mahathir dalam UMNO.

Kesudahannya, puak Mahathir "memenangi" kes makhamah setelah didapati bahawa oleh sebab parti berkenaan adalah sebuah pertubuhan haram mengikut Akta Persatuan disebabkan sesetengah cawangannya tidak didaftarkan secara rasmi, maka kes pihak menuntut tidak sah; sebuah persatuan haram tidak boleh mengadakan pemilihan baru untuk tampuk pimpinannya. Mahathir segera menubuhkan "UMNO (Baru)" dengan memindahkan semua aset UMNO lama kepada parti baru itu. Kebanyakan penyokongnya turut menyertai UMNO (Baru), dan kemudian gugurlah perkataan "(Baru)" dari nama parti, maka boleh dikatakan kekalnya UMNO yang lama. Apabila Mahkamah Agung sudi mendengar rayuan terhadap kes ini, kerajaan menggantung perkhidmatan lalu memecat Ketua Hakim Negara Salleh Abas dan lima orang lagi hakim Mahkamah Agung, maka tercetusnya krisis perlembagaan Malaysia 1988. Kes ini diketepikan oleh Mahkamah Agung lantikan baharu.[152]

Maka Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46 untuk mencabar kerajaan. Pada pilihan raya umum 1990, ketuanan Melayu dijadikan isu apabila UMNO menuduh Semangat 46, PAS, DAP dan lain-lain parti pembangkang berpakat untuk menamatkan ketuanan Melayu. Pihak kerajaan juga mengingatkan berkali-kali bahawa rusuhan 13 Mei bakal berulang jika ia tidak berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen. Iklan-iklan semuka penuh yang menggambarkan pertumpahan darah dan keganasan disiarkan pada akhbar-akhbar nasional utama. Ketegangan kian meningkat apabila Tunku Abdul Rahman menyeru para pengundi supaya menyokong Semangat 46 daripada UMNO baru, dibalas pula dengan sesetengah ahli UMNO yang menuntut supaya gelaran "Bapa Kemerdekaan" ditarik balik dan patungnya dialih keluar dari Dewan Parlimen. Sungguhpun demikian, pemerintah mengekalkan majoriti dua pertiganya sementara Semangat 46 hanya memenangi lapan kerusi.[153]

Mengkaji semula dan memperbaiki dasar ekonomi

Sebelum tamat tempoh DEB pada tahun 1990, ramai yang berbahas sama ada dasar tersebut harus diperbaharui, diganti atau dimansuhkan sama sekali. Pihak kerajaan menganjurkan kajian semula rasmi terhadap DEB pada tahun-tahun menjelang tamat tempohnya. DEB berdepan dengan beberapa kritikan sepanjang hayatnya, kebanyakannya berkenaan dengan rasuah dan lain-lain penyelewengan.

Salah satu titik pertikaian adalah pengiraan kongsian Melayu. Biarpun kaum Melayu secara rasminya beroleh 18% hasil ekonomi pada tahun 1992, namun sesetengah pihak menyangkal perangkaan itu sebagai tidak tepat. Adalah dihujahkan bahawa pada hakikatnya, kebanyakan jumlah ini terdiri daripada ekuiti pegangan agensi kerajaan, maka ia milik keseluruhan rakya Malaysia.[154] Amalan mengutamakan Bumiputera dalam mengurniakan kontrak kerja raya dikatakan telah membantutkan kecekapan Melayu dengan tidak banyak mendorong peningkatan. Susulan daripada itu, kebanyakan kontraktor Bumiputera mensubkontrakkan kerja-kerja mereka kepada pihak lain, termasuk sesetengahnya Cina; maka berleluasalah amalan "Ali Baba" yang mana orang Melayu [Ali] menggunakan keistimewaannya untuk beroleh lesen dan permit yang tidak diperuntukkan kepada bukan Melayu, seterusnya menerima yuran untuk menjadi wakil sedangkan bukan Melayu [Baba] menjalankan perniagaan. Ada yang berpendapat bahawa DEB "tentu berkesan jika Melayu itu benar-benar ingin belajar selok beloknya, sedangkan pada selalnya, dia hanya mahu menjadi kaya."[155]

Ada yang mengatakan bahawa pembayaran saham memberati golongan yang berkait rapat dengan politik dan rata-rata segera menjual saham itu pada harga pasaran untuk mengaut arbitraj daripada terus memegang dan meningkatkan kongsian ekuiti Melayu seperti mana tujuan asal DEB. Biarpun DEB berjaya mewujudkan kelas jutawan Melayu, namun adalah didakwa bahawa ini rata-rata disebabkan kronisme yang hanya memanfaatkan mereka yang bertautan politik.[156] Ada yang bersetuju tetapi berpesan supaya jangan bertindak; menurut seorang ahli PAS: "Orang Melayu tidak mahu kepentingan mereka terjejas oleh keadilan."[157] Pengulas-pengulas lain pula berpendapat bahawa sungguhpun kebanyakan manfaat DEB diuntukkan kepada golongan berkait politik, namun kerajaan mengharapkan agar golongan itu melelehkan kekayaan kepada Melayu jelata serta golongan Melayu kaya baru menjadi "contoh keusahawanan" buat orang Melayu lain.[114]

Pada 1980-an, orang umum semakin risau akan diskriminasi dalam pendidikan tinggi. Pada ketika ini, Menteri Pendidikan berucap kepada Parlimen akan "ketidakpuasan hati" dan "kekecewaan" dalam kalangan bukan Melayu berkenaan "peluang yang semakin berkurangan" untuk pendidikan tinggi.[158] Kemudian pada tahun 1997, Menteri Pendidikan ketika itu, Najib Tun Razak membela perlunya kuota-kuota tersebut atas alasan bahawa Melayu hanya akan mencakupi 5% mahasiswa tempatan jika kuota-kuota itu dimansuhkan.[159]

Satu lagi kritikan terhadap DEB dan tindakan afirmatif seumpamanya adalah mengurangkan keyakinan diri Melayu biarpun Mahathir berhasrat untuk membentuk sebuah kelas niagawan Melayu untuk dijadikan contoh bagi Melayu yang miskin. Seorang wartawan Melayu berpendapat, "Di bawah Dasar Ekonomi Baru ini, tidak seorang pun Bumiputera akan pasti bahawa 'kejayaan' yang diraihnya adalah wajar sama sekali."[160] DEB juga dikritik kerana hendak meningkatkan kongsian ekonomi Melayu biarpun hanya dipegang oleh sebilangan kecil Melayu.[161] Sesetengah pihak menuduh DEB terlalu berkeras dalam pendekatannya ke arah tindakan afirmatif dengan menegaskan bahawa ia telah mematahkan peluang pendidikan tinggi dan kenaikan pangkat bagi bukan Melayu yang berkelayakan, maka memaksa ramai bukan Melayu untuk berhijrah.[162] Ini di samping tanggapan bahawa DEB itu menyeleweng dan dikaitkan dengan ketuanan Melayu telah menimbulkan "rasa geram yang mendalam" terutamanya di kalangan Cina.[163] Kesimpulannya, DEB dikritik kerana memberati sesebuah golongan rakyat Malaysia tertentu dengan layanan keutamaan daripada dasar itu sambil memecahbelahkan rakyat Malaysia kepada rakyat kelas satu dandua.[164]

Pada tahun 1990, DEB diganti oleh Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang meneruskan kebanyakan dasar zaman DEB. Biarpun nyata besar, namun kongsian Melayu dalam ekonomi masih tidak dekat dengan sasaran 30% menurut perangkaan kerajaan. Dalam kajiannya terhadap DEB, kerajaan mendapati bahawa sungguhpun jurang pendapatan dikurangkan, namun sesetengah sasaran penting berkenaan milikan korporat Melayu masih belum tercapai. Mahathir dan Tunku Abdul Rahman bersama-sama meluahkan kegusaran bahawa orang Melayu masih terlalu bergantung kepada orang Cina dari segi ekonomi.[165][166]

Dakwaan-dakwaan bahawa DEB membantutkan pembangunan ekonomi turut dibidas; adalah dianjurkan bahawa DEB telah berjaya mengelakkan rusuhan kaum berlanjutan yang mungkin lebih menjejaskan pembangunan ekonomi daripada DEB. DEB turut dibela kerana telah mewujudkan sebuah golongan menengah Melayu serta meningkatkan taraf hidup tanpa mengusik kongsian bukan Bumiputera dalam ekonomi dari segi mutlak; statistik menunjukkan bahawa golongan menengah Cina dan India turut meningkat dengan DEB, tetapi tidak sebesar Melayu. Kadar kemiskinan keseluruhan negara susut dari 50% pada zaman kemerdekaan ke 7%. Juga dianjurkan bahawa stereotaip kaum telah banyak dikikis berkat daripada kejayaan DEB dalam membentuk sebuah kelas atasan Melayu. Biarpun kebanyakan matlamat DEB diserap ke dalam DPN, namun dasar baru itu kelihatan bertujuan ke arah pemeliharaan dan peningkatan kekayaan daripada pengagihan semula semata-mata.[114][167][168] Namun demikian, kebanyakan dasar dari zaman DEB terpelihara dalam DPN yang bakal tamat tempoh pada tahun 2020.[169]

Bangsa Malaysia dan liberalisasi politik

Dalam 1990-an, Mahathir dan UMNO berubah haluan sama sekali dalam dasar kebudayaan kerajaan dengan pelancaran Wawasan 2020 dan rancangan Bangsa Malaysia. Mahathir menyatakan salah satu halangan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negar maju menjelang tahun 2020 sebagai: "cabaran mewujudkan masyrakat matang, liberal dan toleransi dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara." Mahathir menganjurkan penubuhan sebuah "Bangsa Malaysia" yang "menaruh kesetiaan politik dan berdedikasi kepada negara". Ekoran kemenangan pemerintah pada pilihan raya umum 1995, Mahathir menjelaskan bahawa Bangsa Malaysia memaksudkan bangsa yang boleh mengaitkan diri mereka dengan negara ini, bertutur dalam Bahasa Malaysia dan menerima Perlembagaan.[170]

Tegas Mahathir lagi, pada mulanya adalah dianjurkan bahawa seseorang yang mengaku rakyat Malaysia haruslah berketurunan Melayu seratus peratus, tetapi kini diterimanya hakikat bahawa ini merupakan sebuah negara berbilang bangsa, maka harus dibinanya 'jambatan' daripada cuba menghapuskan halangan yang memisahkan sesama kaum. Perubahan yang begitu dramatik itu dilihat oleh kaum bukan Melayu sebagai "penarikan semula sama sekali" dasar-dasar terdahulu yang menekankan asimilasi bukan Melayu. Kerajaan mengambil langkah-langkah untuk menekankan perubahan ini dengan mengurangkan penekanan terhadap bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa kebangsaan dengan membenarkan universiti-universiti tempatan untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk mata-mata pelajaran tertentu. Kerajaan turut mengiktiraf diploma dari Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) yang majoriti penuntutnya berbangsa Cina dan ditaja oleh MCA untuk pengambilan kerja di sektor awam.[171] Buat julung kalinya, agama-agama selain Islam boleh disiarkan di radio dan televisyen, cuma tidak dibenarkan mencari penganut baru.[172] Tarian singa, sejenis persembahan tradisional Cina yang diharamkan puluhan tahun lamanya, bukan sahaja dibenarkan semula, bahkan dihadiri oleh Mahathir dan lain-lain pegawai kerajaan atasan.[173]

Walaupun awal 1990-an menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang ketara, namun sesetengah pihak berpendapat bahawa dasar-dasar liberal Mahathir telah memainkan peranan penting dalam popularitinya serta kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya 1995. Seorang pengulas menulis bahawa "Ramai orang Malaysia tidak mengenang zaman kemakmuran yang lebih mekar ataupun kurangnya perselisihan antara kaum. ... Petunjuk ekonomi sahaja tidak dapat mengungkapkan kebanggaan yang dirasai oleh rakyat Malaysia, mungkin buat julung kaliny, dalam menjadi rakyat Malaysia."[174]

Lim Kit Siang menganggap liberalisme Mahathir serta penerimaan pendirian DAP mengenai isu-isu seperti "bahasa, budaya dan pendidikan" sebagai punca kekalahan pembangkang. Namun begitu, ada yang meragui keikhlasan Mahathir. Seorang pegawai Pemuda UMNO berpendapat bahawa "Tindakan fleksibel kerajaan Barisan ... hanya menunjukkan bahawa kita sedang menikmati tahap toleransi tertinggi semata-mata berdasarkan tahap keyakinan dari segi kedudukan politik dan ekonomi Melayu. Kita berkongsi kuasa politik dengan kaum Cina. Apabila mereka perlu meningkatkan sokongan politik dari kaum mereka, maka adalah penting sekali untuk mereka membela kepentingan utama kaum Cina. Jadi apa salahnya begitu? Kita boleh mencapai penyelesaian sama menang. Ini adalah tindakan politik semata-mata. ... Begitu juga, kami selaku Pemuda UMNO perlu sentiasa dipandang sebagai kumpulan politik teramat rasialis yang memperjuangkan kepentingan Melayu. ... Bagaimanapun, agenda-agenda yang telah kami selesaikan seperti Islam, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa Melayu, tidak wajar dipersoal dalam apa jua keadaan kerana ini adalah isu-isu yang teramat sensitif."[175]

Menjelang penghujung 1990-an, dasar-dasar kerajaan dilonggarkan untuk memerangi krisis ekonomi Asia dengan menggalakkan pelaburan asing. Pada tahun 1999, sebuah parti pembangkang baru yang disokong oleh bekas timbalan Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang telah dipenjarakan atas kesalahan liwat setelah dilucutkan jawatan tiba-tiba) telah menimbulkan kebangkitan semula amaran "13 Mei". Bagaimanapun, kerajaan mengekalkan majoritinya di Parlimen.[176] Pada tahun 2003, Mahathir secara rasminya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lalu diganti oleh timbalannya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Rujukan

WikiPedia: Ketuanan_Melayu http://www.aliran.com/high9902.html http://www.aliran.com/monthly/2005b/7d.html http://atimes.com/atimes/Southeast_Asia/FJ02Ae05.h... http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/printable.php... http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cac... http://www.jeffooi.com/2006/10/equity_share_is_rac... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/the_nst_sh... http://www.jeffooi.com/archives/2005/08/we_are_16_... http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/i_went_int...